comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapan sekolah Islam persendirian GISBH di Selangor ditutup – MAIS

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini memaklumkan beberapa tindakan tegas telah diambil terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) serta rangkaiannya hasil perbincangan semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan itu antara lain termasuk penutupan lapan buah sekolah kelolaan GIBSH yang dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

“Hanya terdapat lapan buah premis yang digunakan oleh GISBH atau rangkaiannya telah didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

“Ia termasuk Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang; Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong; Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua Sekolah Islam Persendirian yang terlibat dan didapati sekolah tersebut telah bertindak menyalahi peruntukan EPSAI 1988,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, MAIS katanya, telah mengeluarkan arahan penutupan semua sekolah terbabit pada 23 September 2024, dan pembatalan pendaftaran sekolah-sekolah tersebut sedang diproses.

Pada masa sama, Abdul Aziz memaklumkan pihaknya turut mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH di Bandar Country Homes, Rawang.

Katanya, penutupan premis itu adalah sementara menunggu siasatan berhubung kesalahan jenayah, termasuk jenayah syariah yang dikaitkan dengan GISBH.

Mengulas lanjut, MAIS juga juga akan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH, yang kini ditempatkan di rumah kawalan JKM.

Tambahnya lagi, MAIS telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, dan agensi berkaitan untuk menyelaras tindakan terhadap GISBH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini