KUALA TERENGGANU: Tujuh lokasi dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk digazetkan sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di negeri itu sebelum akhir tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, setakat ini Terengganu mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada tahun 2018 iaitu di kawasan Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Katanya, apabila sudah siap digazetkan kelak, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri.
Ia bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran bebas asap.
Katanya, proses pewartaan tersebut mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri serta pemegang taruh yang lain.
“Kawasan yang dikenal pasti di daerah Kemaman ialah Taman Bandar Chukai, daerah Dungun melibatkan Arena Merdeka; Setiu pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala kawasan Kota Putera Square di Besut”,katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata sejak 2018, JKNT telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan merokok di TBAR Batu Buruk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.