comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kunjungan Hormat Presiden Singapura ke Wisma Pandu Puteri Malaysia

 

Oleh Aslina Abu Bakar & Qirana Nabilla Mohd Rashidi

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke Majlis Kunjungan Hormat Presiden Singapura Halimah Yacob di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, di sini, hari ini.

Ketibaan Presiden Singapura pada jam 4:35 petang itu, disambut Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri.

Turut berangkat, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah ke lawatan berkenaan bersempena lawatan rasmi Halimah ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Halimah terlebih dahulu menandantangani buku lawatan sebelum dibawa melawat ke booth pameran Renjer Tunas Puteri Malaysia sebelum persembahan kebudayaan daripada Ahli Pandu Puteri Malaysia.

Beliau dalam ucapannya berkata, pihaknya gembira melihat hubungan yang semakin meningkat antara pergerakan Pandu Puteri kedua-dua negara selain tertarik untuk mengetahui tentang aktiviti kreatif yang sering dianjurkan oleh persatuan berkenaan di Malaysia dengan penglibatan semua peringkat umur.

“Kem Antarabangsa Pandu Puteri yang diadakan di Singapura tahun lalu, membabitkan penyertaan peserta dari pelbagai peringkat umur dan bangsa, termasuk rakan-rakan dari Malaysia.

“Selain membangunkan empati dan kepimpinan, platform sebegini juga sekaligus membantu ahli membangunkan pemahaman silang budaya dan perspektif global,”katanya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pandu Puteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri yang juga Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis yang berakhir pada jam 6:30 petang tadi.

Loading...
Terkini