comscore
Tumpuan :
Nasional

82,794 pegawai, anggota pelbagai agensi kerajaan siap siaga hadapi musim banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berdepan musim banjir akibat ketidaktentuan cuaca semasa selain musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pegawai dan anggota itu akan menjalankan tugas masing-masing dengan sokongan sebanyak 37,127 unit pelbagai aset.

Katanya, ia membabitkan sebanyak 2,031 unit bot penyelamat; 1,399 unit jentera kenderaan 4×4; 1,646 unit jentera kenderaan berat; 31 unit helikopter; 30,260 unit jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa dan 760 unit jambatan panel keluli bermodular.

“Selain itu, bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,158,743 mangsa di seluruh negara.

“Sebagai persiapan menghadapi bencana di seluruh negara juga, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM232 juta kepada semua negeri.

“Ia bagi diagihkan kepada ketua isi rumah mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan persiapan kerajaan dalam menghadapi musim banjir di seluruh negara dan perancangan sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka.

Pada masa sama, menurut Anwar, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 3 Oktober lalu mengarahkan supaya JPBD diaktifkan dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

Katanya, ia adalah bagi memastikan tindakan seberapa segera diambil apabila berlakunya sebarang kejadian bencana termasuk banjir besar.

“Selain itu, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi terbabit bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya,” katanya.

Anwar berkata, dari aspek pemantauan dan amaran awal, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mengemaskini dan mengenalpasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir di seluruh negara bagi menangani serta mengurangkan risiko banjir yang akan datang dengan pelaksanaan segera.

Katanya, ia termasuk menempatkan sebanyak 737 pam bergerak di semua lokasi `hotspot’ banjir seluruh negara dan menaiktaraf stesen siren amaran banjir serta stesen kamera web bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini