Tumpuan :
Nasional

8,417 PPS disediakan kepada mangsa banjir di seluruh negara

Foto hiasan

KUANTAN: Sebanyak 8,417 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 5 November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata segala bantuan daripada segi bekalan makanan dan barang keperluan sudah dipersiapkan lebih awal.

Katanya, sebanyak 563 pangkalan hadapan di seluruh negara juga sudah menerima bekalan makanan dan barang keperluan untuk memastikan ia mencukupi kepada mangsa banjir.

“Sebenarnya, JKM memang sentiasa bersedia dan turun padang untuk membantu mangsa bukan saja banjir, malah bencana lain seperti kebakaran dan lain-lain.

“Pada masa sama, kita turut menempatkan kaunselor di PPS dan setakat ini 6,073 kaunselor berdaftar dengan kementerian termasuk kakitangan sokongan psikologi dan sukarelawan JKM,” katanya selepas meninjau Depoh Simpanan Keperluan bencana Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses pendaftaran mangsa bencana tidak lagi dilakukan secara manual, sebaliknya mereka yang terbabit dalam bencana hanya perlu mendaftar melalui aplikasi My Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (MyIBJKM).

Katanya, aplikasi yang dilancarkan pada Ogos lalu bertujuan mempercepatkan proses pendaftaran mangsa ke PPS yang tidak lagi mangsa beratur panjang untuk mendaftar.

“Melalui aplikasi ini, mangsa hanya perlu mengimbas QR yang disediakan bagi membuat pendaftaran masuk dan keluar.

“Oleh itu, kita harap orang ramai dapat memuat turun aplikasi ini bagi mempercepatkan proses pendaftaran apabila ingin berpindah ke PPS,” katanya.

Mengenai persediaan Pahang menghadapi monsun kali ini, Noraini berkata sebanyak 861 PPS didaftarkan di 11 daerah di seluruh negeri itu dan 165 pangkalan hadapan sudah menerima bekalan bantuan dan barang keperluan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini