comscore
Tumpuan :
Nasional

860,000 batang rokok bernilai RM236,500 dirampas di Kelantan

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan 860,000 batang rokok dalam sidang media di sini, hari ini.

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 dalam serbuan di Kampung Dalam, Tumpat, pada jam 6.30 pagi, semalam.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata kesemua rokok dengan nilai cukai RM577,060 itu ditemui di dalam sebuah lori yang diparkir.

Katanya, penyeludup menggunakan modus operandi dengan meninggalkan lori di kawasan terpencil terlebih sebelum dipercayai akan dibawa oleh sindiket lain untuk dijual di pasaran tempatan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada rokok terbabit dibawa masuk melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok atau dari luar Kelantan sebelum dibawa ke lokasi serbuan.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang.

“Pelaku juga boleh didenda RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya dalam sidamg media di Pejabat Penguatkuasa JKDM Cawangan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, lori terbabit turut disita manakala siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan seperti rokok, minuman keras, meecun atau dadah boleh menghubungi pihak kami melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke pejabat JKDM berdekatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini