Tumpuan :
Nasional

87,000 kematian akibat AMR menjelang 2030 jika tiada intervensi

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Negara bakal berdepan unjuran kematian sebanyak 87,000 sekitar tahun 2020 hingga 2030 sekiranya tiada sebarang intervensi dibuat bagi memerangi Kerintangan Antimikrob (AMR).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka itu bersamaan dengan 0.26% daripada populasi negara yang dianggarkan 33 juta, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kajian yang dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).

“Malaysia bersama beberapa negara lain seperti Vietnam dan Filipina turut mempunyai data unjuran masing-masing. Sebagai contoh, Vietnam dengan populasi 98.86 juta diunjurkan mencatatkan 296,581 kematian akibat AMR dalam tempoh yang sama.

“Angka-angka ini adalah hasil simulasi unjuran, bukan angka sebenar, namun ia memberi gambaran jelas bahawa tanpa langkah intervensi lebih serius dan menyeluruh, ancaman ini boleh menjadi realiti,” katanya pada sidang media di sini.

Tambahnya, selain kehilangan nyawa, AMR juga membawa kesan besar terhadap ekonomi.

“Rantau Pasifik Barat dijangka menanggung kerugian ekonomi sebanyak AS$148 bilion akibat beban penyakit dan kos ekonomi yang berkait dengan rintangan antimikrob,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan inisiatif yang lebih tuntas bagi memerangi AMR demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Dzulkefly melancarkan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024 di sini yang dihadiri oleh lebih daripada 400 orang peserta yang terdiri daripada profesional kesihatan dari sektor kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar,pemimpin komuniti, persatuan bukan kerajaan, media, pempengaruh dan orang awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini