comscore
Tumpuan :
Nasional

9 premis judi dalam talian di Seremban diserbu

SEREMBAN: Sembilan premis di daerah ini yang berselindung di sebalik operasi perniagaan makanan, alat tulis dan alat telekomunikasi diserbu pihak berkuasa selepas disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian (JOL).

Dengan papan tanda untuk mengaburi mata pihak berkuasa, premis berkenaan juga didapati hanya sekadar meletakkan peralatan dan barang jualan asas di bahagian hadapan kedai.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, susulan operasi yang dijalankan sebelum ini, pihaknya menjalankan Ops Pemotongan Khas, petang semalam.

“Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan operasi berkenaan di dalam kawasan daerah Seremban, semalam.

“Dalam operasi ini, pihak polis dan TNB mengambil tindakan pemotongan serta pembekuan utiliti terhadap premis yang disyaki menjalankan kegiatan JOL,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi itu, sebanyak sembilan premis berjaya diambil tindakan selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi membendung dan mengekang penganjur daripada meneruskan kegiatan haram itu.

“Hasil serbuan yang dijalankan, kami mendapati premis ini menjalankan kegiatan JOL yang menggunakan telefon bimbit sahaja. Mereka menyamar sebagai kedai makan, kedai alat telekomunikasi dan sebagainya,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kami juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada polis bagi membanteras JOL ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini