comscore
Tumpuan :
Nasional

9 rumah di Petra Jaya musnah dalam kebakaran

Foto: NSTP

KUCHING: Seramai 44 penghuni sembilan rumah di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 pagi.

Beliau berkata, tujuh daripada rumah terbabit musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar dalam 30 peratus.

“Semua penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

“Penghuni terdiri daripada 21 lelaki, 19 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya.

Menurutnya lagi, seramai 41 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Padungan, BBP Tabuan Jaya dan ibu pejabat JBPM Sarawak terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran itu.

“Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba, serta sumber air terbuka iaitu air dari sungai berhampiran dan bantuan dari jentera ‘water tanker’.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.35 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6:20 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini