comscore
Tumpuan :
Nasional

90 pelajar keracunan: Laporan kimia sampel ayam goreng diketahui 2 atau 3 hari lagi 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Laporan kimia sampel ayam goreng yang dipercayai menjadi punca keracunan makanan di kantin sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Khamis lalu, dijangka diperolehi dua atau tiga hari lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan Batu Pahat telah mengambil langkah susulan dengan memeriksa premis tersebut dan mengambil sampel makanan.

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 27 Jun lalu apabila seramai 90 pelajar dan sembilan tenaga pengajar mengalami keracunan makanan setelah makan ayam goreng di kantin sekolah terbabit.

“Daripada 99 individu yang keracunan makanan itu, hanya 11 individu sahaja menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan atau klinik swasta kerana sakit perut.

“Kita telah mengambil makanan tersebut untuk dihantar ke makmal untuk mengetahui sama ada ia menjadi punca keracunan ini berlaku atau sebaliknya. Keputusan itu dijangka diterima dalam masa dua ke tiga hari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Saringan Diabetes oleh Hospital Pakar Regency di Pusat Beli Belah Mid Valley Southkey, di sini hari ini.

Menurut Tian Soon, kantin sekolah tersebut telah diarahkan tutup sejak Jumaat lalu sehingga 11 Julai depan bagi memberi laluan siasatan dijalankan.

“Saya difahamkan tidak ada antara mangsa yang ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

“Cuma 11 individu sahaja yang menerima rawatan mereka, yang lain mungkin mengalami simptom ringan.

“Ini bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan berlaku yang disyaki berpunca makanan kantin di sekolah. Sepanjang tempoh penutupan, pihak kantin perlu bersihkan premis mereka,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini