comscore
Tumpuan :
Nasional

90 peratus tiket tambahan ETS ke utara habis dijual

 

 

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus daripada 8,820 tiket tambahan dua hala perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari ibu negara ke utara yang ditawarkan sempena Aidilfitri ini sudah habis terjual.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tiket tambahan itu bermula 24 Mac lalu bagi perjalanan antara 19 hingga 25 April selepas mendapat permintaan tinggi sempena Aidilfitri.

“KTMB menambah dua tren ETS bagi perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar serta dua tren lagi untuk laluan KL Sentral ke Butterworth untuk menampung permintaan tinggi dan memudahkan orang ramai pulang ke kampung.

“Setakat ini, 90 peratus (7,900) tiket terjual. Ini menunjukkan sambutan cukup hebat daripada penumpang terhadap perkhidmatan ETS KTMB,” katanya selepas mengedarkan 1,000 pek hari raya kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter di KL Sentral di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Beliau berkata, KTMB juga menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri untuk penumpang yang ingin ke pantai timur.

“Bermula dari Stesen KL Sentral hingga Stesen Tumpat, perkhidmatan ini menawarkan empat perjalanan pergi dan balik dengan 1,864 tiket dan setakat ini sebanyak 1,685 dijual,”

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong usaha KTMB menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kereta api bagi mengelakkan kesesakan pada musim perayaan.

“Inisiatif KTMB dalam menyediakan pengangkutan alternatif dengan tambang berpatutan ini sangat baik.

“Saya juga meminta KTMB supaya sentiasa memantau kualiti servis seperti ketepatan masa, penyelenggaraan tren dan operasi cekap terutama musim perayaan,” katanya.

Loading...
Terkini