comscore
Tumpuan :
Nasional

90 tan abu Al-Quran dilepas ke laut

90 tan metrik abu al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir dilepas ke laut.

PELABUHAN KLANG: Sejumlah 90 tan metrik abu al-Quran serta buku agama yang rosak akibat banjir pada tahun lalu dilupuskan dengan cara melepaskan abu berkenaan di tengah laut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata abu berkenaan dihasilkan selepas sekitar 350 tan metrik mushaf al-Quran serta buku agama yang rosak dikeringkan dan dibakar.

“Berikutan banyak al-Quran serta buku agama yang rosak, kita mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan proses mengering, membakar sebelum abu itu dikumpulkan dan dimampatkan.

“Kos bagi proses berkenaan juga mencecah RM900,000 dan abu-abu ini dilupuskan di tengah laut secara berperingkat yang mana hari ini adalah siri ketiga dan saya fikir ia yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Polis Marin Pelabuhan Klang dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, abu-abu berkenaan dibuang di tengah laut sekitar 13 batu nautika berdekatan Pulau Angsa.

Katanya, kos bagi program pelupusan berkenaan adalah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Gas Malaysia dan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Samsul Muhaimin Abdullah Saleh berkata, pada siri kali ini, pelepasan abu dilaksanakan dengan lebih sopan iaitu dengan menggunakan gelongsor yang dibina khas.

“Gelongsor ini adalah inovasi daripada pihak Qaf International Sdn Bhd yang mana ia salah satu cara sopan untuk menyantuni abu-abu al-Quran yang kita lepaskan ke dalam laut.

“Sebelum ini kita hanya lontarkan tetapi selepas diperhalusi, cara ini (menggunakan gelonsor) lebih sopan,” katanya.

Program berkenaan juga mendapat bantuan daripada Polis Marin yang membawa abu berkenaan serta sukarelawan ke tengah laut.

Loading...
Terkini