comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 91 mangsa, lebih 60 premis terjejas ribut di Perlis

– FOTO: Ihsan Orang Awam

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Kira-kira 91 mangsa dari 11 kariah di Perlis terjejas akibat musibah ribut yang melanda petang tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, antara kariah yang paling teruk terjejas adalah Masjid Tuanku Syed Putra iaitu melibatkan 64 mangsa yang terdiri dari penduduk Kampung Baru, Taman Intan dan Taman Dato Setia.

“Manakala Kariah Repoh seramai 7 mangsa dan masing-masing 6 mangsa di Kechor dan Behor Temak serta 2 mangsa dilaporkan di Chemumar.

“Di kariah Kangar, Kota Kayang, Panggas, Behor Empiang, Binjal dan Behor Mentalon masing-masing merekodkan cuma seorang mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Ujarnya, dia bersama pegawai dan kakitangan MAIPs telah turun ke beberapa lokasi bagi meninjau keadaan mangsa ribut.

“Individu yang terjejas dalam musibah itu diminta memaklumkan kejadian itu kepada MAIPs atau Pengurusan Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri Perlis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Kejadian sekitar jam 4.45 petang itu turut merosakkan lebih 60 premis kediaman dan perniagaan di sekitar Kangar

Turut terjejas, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang terletak di Taman Sena Indah, Repoh, Behor Empiang, Jalan Syed Alwi berhampiran sebuah pasar raya terkemuka, selain bazar Aidilfitri di Kangar Jaya.

Bagaimanapun, kejadian ribut yang berlaku itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Loading...
Terkini