comscore
Tumpuan :
Nasional

60 kes pulih, 31 kes baharu hari ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 5,706 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes baharu pula, sebanyak 31 kes dilaporkan dengan 10 daripadanya adalah kes import.

Katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 7,009 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,189 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 31 kes baharu dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan yang mana 10 individu bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, 11 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah berkenaan, tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan bagi kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlah kes kekal 114 atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Loading...
Terkini