comscore
Tumpuan :
Nasional

93 kes baharu, 61 kes pulih, tiada kematian

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jangkitan baharu wabak COVID-19 kembali meningkat dengan sebanyak 93 kes dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini mencecah 7,970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes berkenaan adalah penularan tempatan membabitkan 91 kes bukan warganegara dan dua lagi dalam kalangan warganegara.

“Sebanyak 55 kes terbabit adalah dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 36 lagi daripada Kluster Pedas.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 61 kes pulih hari ini dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya serta discaj adalah 6,531 atau 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 1,324 kes. Mereka sudah diasing dan diberikan rawatan.

“Enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tiada kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif korban akibat virus itu di Malaysia kekal 115 atau 1.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Loading...
Terkini