comscore
Tumpuan :
Nasional

93 pesawah rugi RM2 juta, tidak mampu mulakan tanaman semula

Kawasan sawah padi yang di tenggelami banjir susulan hujan lebat yg berterusan sejak semalam hingga hari ini di Kampung Lubuk Batu, Jitra. – FOTO: NSTP

JITRA: Seramai 93 pesawah di Lubuk Batu mendakwa kerugian RM2 juta apabila padi yang sedang masak di sawah seluas 232 hektar ditenggelami banjir Isnin lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu, Harun Zamri, 72, berkata, padi yang sedia dituai tidak lama lagi, rosak kerana sawah dinaiki air.

Padi ditenggelami air menjadi masam kerana diselaputi lumpur selain menyebabkan ia rebah dan tidak dapat dituai.

“Memang kerugian ditanggung kali ini terlalu besar, situasi menimpa petani ini sama dengan kejadian banjir pada 2010 ketika Kedah dilanda banjir besar.

“Setiap hektar padi boleh menghasilkan pendapatan kira-kira RM9,000, jadi dengan keluasan keseluruhan 232 hektar ini memang kerugian boleh dikatakan lebih RM2 juta,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Banjir di Kedah memaksa 3,920 mangsa berlindung di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri setakat jam 12 tengah hari tadi.

Seorang lagi pesawah, Megat Asmadi Megat Saidin, 52, berkata beliau menanggung kerugian lebih besar kerana turut mengusahakan perkhidmatan traktor pembajak yang diupah petani lain.

“Kebiasaan setiap musim untuk memulakan tanaman padi, saya menerima upah membajak bagi semua 232 hektar sawah di kawasan ini dan bayaran hanya akan dibuat selepas menuai.

“Dengan keadaan semasa yang mana padi tidak boleh dituai, saya tidak tahu apa boleh dibuat ketika ini kerana pendapatan kami terjejas,” katanya.

Asmadi berkata selepas air kering, petani perlu memulihkan semula tanah sawah yang terendam sebelum boleh memulakan musim tanaman seterusnya yang patut bermula awal bulan depan.

Abdul Jalil Abdullah, 59, pula berkata dia sudah menempah mesin padi untuk menuai di sawah miliknya seluas kira-kira 1.5 hektar di Kampung Padang Luar.

“Kalau tiada bantuan segera, saya memang tak mampu nak mulakan semula tanaman padi selepas ini. Rakan-rakan petani lain pun berdepan kesukaran sama yang memerlukan bantuan modal,” katanya.

Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, Nor Rahila Yusof berkata semua petani terjejas diminta mengambil langkah segera membolehkan bantuan disalurkan.

“Kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP) untuk bantuan, apabila banjir terjadi petani kena cepat ambil gambar bendang dan buat laporan polis. Pada masa sama PPK akan selaras dengan Jabatan Pertanian untuk menganggarkan nilai kerosakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini