HOME / Nasional

948 kawasan pulih sepenuhnya pagi ini – Air Selangor

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 948 kawasan atau 73.37 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 344 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Wilayah Hulu Selangor adalah kawasan pertama mencatat peratusan pemulihan sepenuhya (100 peratus), diikuti Kuala Selangor (99.25 peratus); Petaling (91.78 peratus); Gombak (72.99 peratus); Kuala Langat (50 peratus); Kuala Lumpur (47.37 peratus); dan Klang/Shah Alam (38.42 peratus).

“Sebanyak 71 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Gombak dan Klang/Shah Alam sepatutnya pulih tengah malam tadi, namun masih belum dapat dipulihkan.

“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Beliau berkata, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan terlibat.

Ganguan bekalan air di sekitar Lembah Klang bermula sejak Khamis apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah. – Bernama