
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar token tidak sepiawai (NFT), salah satu aset kripto yang dijadikan pelaburan oleh sesetengah pihak kini langsung tidak mempunyai nilai, demikian menurut satu kaji selidik terkini.
dappGambl, platform pelaburan kripto yang mengumpulkan analisis terhadap NFT mendapati, 95 peratus atau 69,795 daripada 73,257 koleksi NFT yang telah dikenal pasti kini mempunyai permodalan pasaran 0 Ether (ETH), yang boleh dianggap langsung tiada nilai.
“Menggunakan data yang disediakan oleh NFT Scan, kami mengumpulkan analisis komprehensif lebih 73,000 koleksi NFT bagi mengenal pasti trend penting, menilai tahap kesihatan pasaran, menentukan faktor yang menyumbang kejayaan projek, dan pandangan mengenai trajektori masa depan ekosistem NFT.
“Hasilnya amat mengejutkan. Statistik yang ada bermakna 95 peratus orang yang memegang koleksi NFT kini memiliki pelaburan yang langsung tidak bernilai.
“Selepas melihat angka ini, kami menganggarkan bahawa 95 peratus itu adalah 23 juta orang yang pelaburannya kini tidak bernilai,” kata dappGambl dalam laporan itu.
Kaji selidik itu menonjolkan risiko pasaran NFT yang amat besar dan keperluan supaya ketekunan wajar dibuat sebelum melakukan sebarang pembelian, terutamanya yang bernilai tinggi.
dappGambl berkata, realiti itu sepatutnya menjadi peringatan terhadap keterujaan yang kebiasaannya berlaku dalam ruang pelaburan NFT.
“Di sebalik cerita-cerita karya seni digital dijual pada harga bernilai jutaan dan pelbagai lagi kisah kejayaan pelaburan, jangan dilupakan fakta bahawa pasaran NFT ini penuh dengan ranjau dan potensi kerugian,” katanya.