comscore
Tumpuan :
Nasional

987 bayi didiagnos masalah pendengaran tahun lalu

Oleh: Syafiqah Damanhuri

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal memperluaskan Program Saringan Pendengaran Kanak-Kanak Sejagat ke seluruh hospital awam.

Ia selepas kejayaan pengesanan awal terhadap 987 bayi yang didiagnos mempunyai masalah pendengaran daripada 253,822 keseluruhan yang disaring sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program yang diperkenalkan pada 2023 itu mengesan masalah bayi dari awal kelahiran.

“KKM melakukan saringan sejak beberapa hari selepas bayi dilahirkan dan kita mengambil tindakan susulan sama ada mereka memerlukan bantuan.

“Sekiranya perlu, mereka boleh mendapatkan implan koklea bergantung pada nasihat pakar.” katanya ketika ditemui media di Majlis Pertandingan Bakat Amal Hear Me’s Got Talent 2024, di Hospital Cyberjaya di sini.

Jelasnya, tindakan itu membolehkan rawatan dan intervensi segera dapat diambil.

Jika tidak, bayi kurang upaya itu boleh mengalami masalah pendengaran berpanjangan sekali gus turut mengganggu pertuturan mereka.

Menurut Presiden Persatuan Ibu Bapa Anak Masalah Pendengaran, Maryam Sakinah Abang Abdullah, stereotaip bahawa orang pekak hanya berkomunikasi melalui bahasa isyarat sahaja tidak tepat.

Katanya, dengan teknologi semasa dan usaha ibu bapa yang komited, anak-anak pekak juga boleh bercakap dengan baik.

“Dalam komuniti pekak ini tidak semua menggunakan bahasa isyarat tetapi ada yang boleh mendengar.

“Justeru ada peluang untuk anak-anak yang dilahirkan dengan masalah pendengaran mendapatkan alat dan bantuan untuk mereka diberikan ‘peluang kedua’ mendengar dan bertutur.

Di Malaysia, sebanyak empat bagi setiap 1,000 kelahiran bayi mempunyai masalah pendengaran kongenital.

Manakala bagi dewasa pula, satu dalam 20 individu mengalami kekurangan sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini