comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ABDL disifatkan sebagai gaya hidup menentang fitrah


Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Susulan pendedahan terhadap pengamal gaya hidup ‘Adult Baby Diaper Lover’ atau (ABDL).

Amalan menjadi bayi dewasa yang bermula di luar negara itu kini merebak dan mempunyai komuniti di negara ini.

Meskipun kewujudan golongan itu terpencil, namun mudaratnya mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Seperti yang dijangka, hasil tinjauan yang dilakukan Buletin TV3, ramai dalam kalangan masyarakat yang ditemui tidak tahu apa itu ABDL.

Penjawat Awam, Badrul Hisham Mat Isa berkata, biarpun komuniti itu wujud, namun gaya hidup sebagai bayi dewasa tidak diketahui umum.

“Ini pertama kali saya dengar biasanya orang pakai pampers sebab dia ada masalah kesihatan seperti kencing manis atau sebaliknya.

“Ini benar benar kelakar dan saya tak sangka orang Malaysia dewasa ada berkelakuan pelik macam ni,”katanya.

Ada yang berpandangan hal itu pelik, namun beranggapan ia berkemungkinan berpunca daripada trauma masa lalu.

Penjawat Awam, Badrul Hisham Mat Isa. FOTO: Aidil Saharuddin

Pun begitu, bagi Shakila Bakar, dia kurang senang jika satu hari nanti terpaksa berdepan dengan golongan yang mengamalkan gaya hidup pelik ini.

“Lebih dibimbangi kelompok itu dalam diam, merebak seperti barah. Bukan mereka yang merana, tetapi pasangan hidup bagi yang sudah berumahtangga.” katanya.

Penjawat Awam, Shakila Bakar. FOTO: Aidil Saharuddin

Bagi mendapatkan penjelasan dari sudut agama kami panjangkan perkara itu kepada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, adakah dibenarkan kerana pengamalnya beranggapan ianya tidak memudaratkan diri.

Timbalannya, Jamali Mohd Adnan berkata, hukum mengamalkan ABDL dilarang oleh agama Islam dan berdosa.

“ABDL ini sebenarnya menentang fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Mereka yang sudah mumaiyiz atau dewasa sepatutnya mempunyai tugas dan amanah dalam kehidupan mereka terutama untuk mendidik, membimbing keluarganya, isterinya, dan anak-anak.

“Kecelaruan tersebut berperangai seperti bayi ini maknanya sukar dan ada dalam kalangan isteri memohon berpisah, bercerai,”katanya.

Timbalan Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan. FOTO: Aidil Saharuddin

Menurutnya lagi, membiarkan diri dengan sengaja bersama najis tanpa tujuan juga hukumnya haram.

“Walaupun Islam meletakkan kaedah tertentu menyucikan najis dalam kategori mutawassitah, namun jika bukan darurat atau faktor kesihatan tiada sebab melewatkan menyucikan diri dengan memakai lampin.

” Kebersihatan itu sebahagian daripada Iman, jadi sengaja kita bermain dengan najis ataupun membiarkan najis tidak disucikan maka ia membawa kesan yang cukup berat kepada penerimaan ibadah kita di sisi Allah SWT,”katanya.

Beliau turut memohon umat Islam yang menjalani hidup ABDL kembali kepada fitrah ditentukan Allah S.W.T dan tidak menjadikan amalan negara barat itu sebagai ikutan.

“Bagi yang mengesan pasangan mengamalkan ABDL, disaran membantu mereka mendapatkan nasihat daripada kaunselor atau pakar psikologi,”tambahnya kepada Buletin TV3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini