comscore
Tumpuan :
Nasional

Abot dan Rambai letih & tertekan, terpaksa tangguh pindah 

Foto ihsan PERHILITAN

LENGGONG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangguhkan operasi memindahkan empat ekor gajah di Kampung Chepor di sini, pada Sabtu ini.

Berikutan bimbang dua ekor gajah denak yang digunakan, terlalu letih dan tertekan untuk operasi yang dijalankan.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata dua daripada empat gajah itu yang masing-masing dinamakan sebagai Yop Napi bersama seekor lagi gajah dinamakan Yong Hani, dipindahkan hari ini.

Operasi pemindahan gajah itu bermula jam 9 pagi disertai 30 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak.

Katanya, Yop Napi iaitu gajah jantan dianggarkan berusia 35 tahun dengan anggaran berat tiga tan bersama Yong Hani iaitu gajah betina berusia lingkungan 50 tahun dengan anggaran berat dua tan akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum hari ini.

Beliau berkata, dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer untuk naik ke atas lori.

“Operasi memindahkan dua gajah lagi akan dijalankan Sabtu ini memandangkan kita tidak mahu gajah denak (Abot dan Rambai) terlalu letih dan tertekan ketika operasi dijalankan,” katanya ketika operasi hari ini.

Yusoff berkata, tiga daripada empat gajah itu ditangkap pada Jumaat lalu manakala seekor lagi pada Isnin lalu susulan laporan kehadiran mamalia itu sejak dua bulan lalu.

Tambahnya empat ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di kampung itu, yang masing-masing dua gajah jantan dan dua betina, adalah kumpulan gajah (ID) Piah sebanyak 27 ekor yang berpecah dua dan memasuki kawasan kampung.

“Berdasarkan kiraan, terdapat 27 gajah dan berpecah kepada dua kumpulan, iaitu antara 13 hingga 14 ekor gajah bagi setiap kumpulan.

“Kawanan gajah lain sudah dihalau semula masuk ke Hutan Simpan Piah.

“Kita juga memberi jaminan sekiranya kawanan haiwan itu keluar semula dan masuk ke kawasan kampung maka tindakan menangkap haiwan itu akan turut dilakukan,” katanya.

Loading...
Terkini