comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ada anak syarikat ‘biawak hidup’ KKDW ditutup – Zahid

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Terdapat anak syarikat agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah ditutup kerana tidak memberikan keuntungan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang menyifatkan syarikat terbabit sebagai ‘biawak hidup’.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan kaedah pengambilalihan oleh pengurusan (management buyout – MBO) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan.

“Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal (setimpal) bagi mereka meneruskan jika mereka keluar dari badan induk itu (KKDW),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat 2024 KKDW, di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan itu adalah acuan baharu KKDW dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, ujarnya, Perdana Menteri turut menggunakan pendekatan sama dengan mengarahkan mana-mana syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) untuk melakukan tindakan sedemikian.

Ditanya bilangan anak syarikat yang terlibat, Ahmad Zahid berkata, maklumat lanjut mengenainya bakal dijelaskan pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

Pada Ogos tahun lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilaporkan berkata, anak syarikat agensi di bawah KKDW yang tidak memberikan keuntungan akan ditutup dan digabungkan dengan anak syarikat lain.

Jelasnya, ia adalah saranan KKDW kepada Kementerian Kewangan dalam usaha drastik mengurangkan beban kewangan kerajaan dan menstruktur semula anak syarikat di bawah agensi kementerian.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid meminta pengerusi agensi dan lembaga kemajuan wilayah untuk berusaha memulihkan syarikat yang tidak memberikan keuntungan.

“Elok cari jalan untuk sumbang keuntungan itu kepada agensi atau badan induk KKDW. Jika tidak, arahan saya tutup. Ini sangat penting supaya kita tak tanggung ‘biawak hidup’ dalam organisasi kita,” katanya.

Loading...
Terkini