comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada keperluan wujud akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Terdapat keperluan untuk meneliti kewujudan akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian seiring dengan perkembangan pesat teknologi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu Berkaitan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian semalam, yang dipengerusikan secara bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, terdapat beberapa aspek yang boleh dikawal selia dengan akta sedia ada, bagaimanapun pihak jawatankuasa teknikal akan meneliti jenis perundangan yang diguna pakai di negara luar bagi memastikan keselamatan dalam talian adalah terjamin.

“Banyak negara lain mewujudkan akta khusus contohnya untuk kecerdasan buatan. Kita sedang teliti undang-undang yang ada di Malaysia,

“Kita juga sedang meneliti di negara lain apakah cabaran yang dihadapi dan bagaimana melalui langkah perundangan mereka mewujudkan akta-akta baharu. Ini sedang diteliti dan diselaras,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bil 2/2024 hari ini.

Fahmi berkata mesyuarat itu juga mendengar isu dan cabaran dihadapi setiap agensi serta kementerian berhubung aspek keselamatan dalam talian termasuk membabitkan keselamatan kanak-kanak dan akan melaksanakan beberapa perkara yang memerlukan tindakan segera.

Datuk Seri Azalina menerusi catatan di laman Facebook pula berkata, perkhidmatan dalam talian adalah satu keperluan dan menjadi antara elemen terpenting dalam kehidupan seharian, namun alam siber kini dieksploitasi sehingga telah menjadi lubuk jenayah yang semakin berleluasa selain berada pada tahap yang membimbangkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini