comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada pengundi pos luar negara masih belum terima kertas undi

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal berlangsung Sabtu ini, namun ada pengundi pos terutamanya pengundi luar negara masih belum menerima kertas undi mereka.

Malah ada antara mereka memaklumkan hanya akan menerima kertas undi pos pada Sabtu ini (hari pengundian).

Tinjauan Bernama di laman sosial Twitter turut mendapati ada pengundi yang hampir seminggu mendaftar untuk mengundi secara pos, namun kecewa kerana sehingga ke hari ini, kertas undi tersebut masih belum sampai  ke tangan mereka.

Seorang pemilik akaun Twitter S Prem Kumar berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung status undi posnya.

“Saya belajar di India dan telah pun mendaftar untuk undi pos namun sehingga sekarang masih belum menerima kertas undi.

“Dan sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang mesej atau pengemaskinian daripada SPR,” katanya yang merupakan pengundi bagi Parlimen Port Dickson.

Perkara sama turut diluahkan seorang lagi pengguna Twitter Aira Nur Ariana yang menetap di New York, Amerika Syarikat, apabila beliau sendiri tidak pasti bila kertas undi posnya akan diterima.

Beliau berkata kelewatan penerimaan kertas undi pos itu tidak seharusnya berlaku susulan itu bukan kali pertama SPR mengendalikan pilihan raya yang turut membabitkan undi luar negara.

Dalam pada itu, Saifuddin Amri perunding Sekuriti Siber di Arab Saudi, memaklumkan telah menerima notifikasi  daripada syarikat kurier bahawa kertas undi posnya hanya akan diterima selewatnya pada 8 malam (waktu Arab Saudi)  19 Nov (Sabtu ini).

“Orang dah habis pilihan raya, aku baru nak dapat kertas undi pos… jenaka apakah ini SPR. Cadangan saya kepada SPR untuk menyelesaikan isu pengundi pos luar negara – daripada menggunakan undi pos, benarkan kami mengundi di kedutaan atau konsulat Malaysia, ia lebih mudah bukan?” katanya menerusi komen di laman sosial itu.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan SPR mengenai isu itu tidak berhasil apabila pihak suruhanjaya berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas setakat ini-BERNAMA

Loading...
Terkini