Tumpuan :
Nasional

Ada RM12.8 bilion wang belum dituntut

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM12.8 bilion Wang Tidak Dituntut (WTD) milik awam masih belum dituntut, setakat Oktober lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu adalah baki daripada RM17 bilion nilai keseluruhan WTD yang diserah syarikat dan firma.
“Sehingga 31 Oktober 2024, jumlah keseluruhan WTD yang diserah oleh syarikat dan firma adalah berjumlah RM17 billion.

“Jumlah bayaran balik WTD kepada empunya yang berhak adalah RM4.2 bilion menjadikan baki WTD sehingga 31 Oktober 2024 berjumlah RM12.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang-Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, malam ini.

Amir Hamzah berkata, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) melaksanakan 184 reruai di seluruh negara bermula 2022 bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang awam membuat tuntutan.

“Taklimat juga telah diadakan kepada syarikat dan firma, badan
berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain bagi memberi kesedaran berkenaan WTD.

“Sepanjang 2024, JANM telah mengadakan sebanyak 108 taklimat,” katanya.
Mengenai cadangan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara terbabit.

“Yang Berhormat (YB) Pekan mengutarakan cadangan supaya kerajaan mempunyai perancangan untuk melakukan pengesanan pemilik atau waris menggunakan data terkini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya wang itu dapat dikreditkan terus secara automatik ke dalam akaun mereka.

“Saya mengambil maklum cadangan YB dan kami akan meneliti perkara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini