comscore
Tumpuan :
Nasional

Aduan Rakyat: Imigresen Selangor tangani kesesakan di kaunter bulan depan

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil langkah menangani isu kesesakan orang ramai beratur dari tengah malam hingga ke awal pagi bagi menguruskan hal berkaitan pas pekerja warga asing di JIM Negeri Selangor yang terletak di perkarangan PKNS, Shah Alam.

Ia susulan aduan pengunjung yang masih tidak dapat nombor giliran untuk menguruskan pas pekerja asing meskipun datang seawal 4 pagi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menggariskan lima inisiatif bagi menyelesaikan isu berkenaan bermula bulan depan.

Beliau berkata kira-kira 300 orang hadir dengan hampir 3000 urusan dilakukan sehari di JIM Selangor menyebabkan ada yang mengambil keputusan beratur awal pagi.

“70 peratus daripadanya bagi urusan mendapatkan pas khas pekerja asing yang menunggu kelulusan penyambungan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya ketika ditemui BuletinTV3.

Ketika ini, syarat yang ditetapkan, pasport pekerja asing terbabit perlu tidak tamat tempoh sekurang-kurangnya setahun bagi mendapatkan pas berkenaan.

Bermula bulan depan, JIM akan melonggarkan syarat itu dengan tamat tempoh pasport dipendekkan kepada minimum tiga bulan.

“Dengan adanya penambahbaikan ini diharapkan 50 peratus masalah itu dapat ditangani dan mereka boleh memohon pas khas berkenaan secara atas talian,” jelasnya.

Orang ramai turut digalakkan menggunakan sistem penggiliran (QMS) dalam aplikasi telefon pintar bagi nombor giliran yang boleh dimuat turun, dan diakses seawal jam 6 pagi.

Sistem itu juga bakal digunapakai di beberapa cawangan JIM Selangor termasuk Kajang, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

“Pada minggu hadapan juga kita akan menubuhkan satu ‘task force’ untuk membantu urusan pekerja asing di Selangor.

“Kita akan menempatkan pegawai-pegawai tambahan dari Ibu Pejabat Putrajaya Selangor dan pada peringkat awal saya bercadang menempatkan antara 15 hingga 20 orang pegawai untuk membantu JIM Selangor mempercepatkan proses,” ujarnya.

Menurut Datuk Ruslin, laluan baharu bagi pintu masuk urusan pekerja asing juga akan dibuka di kompleks berkenaan.

JIM juga dalam perancangan membina Pejabat Imigresen baharu Negeri Selangor yang lebih kondusif.

Loading...
Terkini