comscore
Tumpuan :
Nasional

ADUN Sungai Bakap alami komplikasi perut, terpaksa ditidurkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff hari ini dilaporkan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas mengalami komplikasi di bahagian perut. Foto: Nor Zamri Latiff/ Facebook

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff hari ini dilaporkan terpaksa ditidurkan selepas mengalami komplikasi di bahagian perut.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim memaklumkan Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

“Kami masih belum mengetahui perkembangan lanjut keadaan beliau kerana hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat di ICU ketika ini.”

“Isteri beliau maklumkan suaminya (Nor Zamri) dimasukkan ke hospital tersebut dua hari lalu kerana sakit di bahagian perut dan kini ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran ahli keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, Nor Zamri atau lebih dikenali sebagai YB Abang Zam mengalami komplikasi perut dan kini berada dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan.

Bapa kepada enam anak itu yang lazimnya aktif mengemaskini aktiviti seharian beliau selaku wakil rakyat dilihat kali terakhir memuat naik hantaran jemputan menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Sungai Bakap di laman Facebook miliknya, empat hari lalu.

Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi selepas meraih sokongan 15,433 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Ogos lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini