comscore
Tumpuan :
Nasional

ADUN Sungai Bakap sedar, semakin stabil

Oleh: Selwam Arjunan

SEBERANG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff, 56, yang ditidurkan akibat mengalami keradangan perut telah sedarkan diri dan semakin stabil di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Nibong Tebal itu masih kekal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ bagi rawatan lanjut dan pemerhatian.

Menurut isterinya, Musalmah Yusop, Nor Zamri kini berada dalam keadaan separuh sedar dan dapat memberi maklum balas kepada ahli keluarga yang melawatnya.

“Beliau (kini) separuh sedar, ada beri respon. Dia boleh dengar kita bercakap.

“Jangan bimbang, beliau semakin stabil dan tidak mahu diganggu. Keluarga pun (ramai) tak masuk sebab masa pendek, bagi dia rehat. Bila dia ok dah pindah ke wad biasa, insyallah saya maklum,” katanya selepas melawat suaminya di HSJ, tengah hari tadi.

Terdahulu, Nor Zamri dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya dua hari lalu kerana sakit di bahagian perut dan ditidurkan dengan kebenaran ahli keluarga bagi proses pemulihan.

Menurut Musalmah, beliau hanya dirawat untuk keradangan perut dan tidak mengalami komplikasi lain.

“Beliau hanya mengadu sakit perut, tiada masalah lain sebelum ini.

“Kami minta semua doakan beliau sebab beliau seorang yg prihatin dan seorang yang berkebajikan.

“Semoga dengan kebajikan yang dia buat untuk masyarakat ini dapat membantu dia untuk sembuh,” tambahnya lagi.

Nor Zamri mengalahkan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi dengan mendapat undian 15,433 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini