comscore
Tumpuan :
Nasional

Agamawan dinasihat hati-hati beri pandangan tentang hukum 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar

MAKKAH: Semua agamawan di Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam menyampaikan pandangan masing-masing dengan sentiasa menyemak rujukan yang sah berdasarkan hadis dan hayat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, agamawan seharusnya berterus terang dan perlu berani mengatakan tidak tahu jika mereka kurang arif seperti yang dilakukan oleh ulama muktabar.

“Tidak salah untuk mengatakan tidak tahu kerana Imam Malik, Imam Syafie apabila ditanya oleh anak murid, kalau tak tahu, jawab tidak tahu.

“Kita ini masalahnya kadang-kadang apabila ada soalan, kita nak jawab semua. Sepatutnya perkara yang kita tidak tahu, kita jawab tidak tahu. Ini yang diajarkan oleh ulama terdahulu sebab masyarakat hari ini apa sahaja yang dikeluarkan oleh mulut agamawan akan diterima kerana dahaga tentang ilmu agama,

“Nasihat saya apabila mahu menyampaikan ilmu pengetahuan itu, biarlah ia didasarkan kepada sumber dan rujukan yang kita yakini dan kepakaran kita. Agamawan ini mempunyai pengkhususan, kalau dalam bidang hadis, kita mempunyai agamawan yang pakar hadis,” katanya.

Beliau turut menasihati agensi media agar memastikan penceramah yang dipilih mempunyai tauliah daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.

“Media boleh juga merujuk kepada JAKIM kerana mempunyai senarai penceramah yang mendapat tauliah. Sekurang-kurangnya penceramah ini telah ditapis. Itu harapan saya. Perlu selalu membuat rujukan jika ada sebarang musykil,” katanya.

Selain itu, masyarakat yang mempunyai permasalahan agama dan hukum juga dinasihat agar merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa dan mufti di negeri masing-masing, katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini