
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran bagi merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu Titah Adendum.
Notis usul itu difailkan semalam selepas kira-kira sebulan Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum bekas Ahli Parlimen Pekan itu merayu keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.
AGC melalui kenyataan hari ini memaklumkan notis usul difailkan semalam itu bertujuan memastikan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Keputusan memfailkan usul berkenaan, katanya berasaskan kepada beberapa premis penting termasuk percanggahan dalam tafsiran undang-undang, di mana terdapat percanggahan pandangan antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti serta minoriti di Mahkamah Rayuan.
“Perkara ini, menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Mengulas satu lagi faktor penting yang turut diambil kira, AGC berkata ia berkaitan kepentingan isu undang-undang di bawah Perlembagaan.
“Isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang yang signifikan serta mempunyai kepentingan awam yang wajar dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
“AGC percaya langkah ini bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan dalam kes ini, tetapi juga bagi menegakkan prisnip keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta menjelaskan tafsiran undang-undang bagi manfaat semua pihak,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Najib mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.