comscore
Tumpuan :
Nasional

Agensi kerajaan, badan berkanun perlu kelulusan menteri hadiri tugasan rasmi ke luar negara – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi kerajaan dan badan berkanun memperoleh kelulusan daripada menteri masing-masing untuk tugas rasmi ke luar negara, berbanding memohon kelulusan ketua setiausaha kementerian sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia sebagai langkah untuk mengurangkan hutang negara, selain memantapkan aspek pengurusan dan tatakelola.

“Untuk pergi (tugas rasmi) ke luar negara ia perlu ada rasional, kenapa jumlah sedemikian perlu pergi? Adakah boleh ada pengurangan atau penjimatan? Ini perlu dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara, Perdana Menteri melihat keperluan meneliti semula aspek-aspek lain termasuk lawatan bagi tugas rasmi ke luar negara.

“Bukan itu (tugas rasmi luar negara) sahaja (tetapi) termasuk penambahbaikan aspek penyampaian, mekanisme untuk projek-projek, pastikan tidak berlaku kelewatan, penangguhan dan projek sakit. Perdana Menteri berhasrat untuk pastikan setiap wang ringgit rakyat dibelanja dengan cukup baik,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, badan berkanun di bawah kementeriannya seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mendapatkan kelulusan beliau untuk lawatan ke luar negara.

Beliau pada masa yang sama turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk membuat tindakan susulan dengan Ketua Setiausaha Negara bagi memastikan perkara berkenaan diuruskan secara teratur dan tiada pelanggaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini