Tumpuan :
Nasional

Agensi kerajaan lain boleh duduki kuarters guru yang kosong

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan kuarters guru yang tidak berpenghuni untuk diduduki agensi kerajaan lain bagi memanfaatkan semula kemudahan itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia langkah dilakukan pihaknya terhadap kuarters rumah guru bertingkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji dekat Kangar, Perlis yang tidak berpenghuni.

Walaupun tawaran sudah dilakukan, beliau berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan setakat ini.

“Kuarters rumah guru bertingkat di SK Utan Aji terdiri daripada dua blok yang mengandungi 16 unit yang tidak berpenghuni kerana tiada permintaan untuk diduduki oleh warga KPM.

“Walaupun keadaan kuarters tersedia adalah baik dan berada di lokasi yang strategik, namun disebabkan oleh sewaan harga rumah bertanah di persekitaran kuarters guru di SK Utan Aji adalah lebih rendah berbanding kadar potongan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun Bantuan Sara Hidup (BSH) jika menduduki kuarters, maka warga KPM lebih memilih untuk menyewa di luar.

“Sehubungan itu, bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters kosong yang tidak berpenghuni ini, KPM membuka tawaran kepada agensi kerajaan lain yang berminat untuk menduduki kuarters terbabit namun sehingga kini masih belum menerima sebarang permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan dikemukakan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang mahu KPM menyatakan status kuarters guru di SK Utan Aji kerana didapati kuarters berkenaan tidak digunakan sepenuhnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini