comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Agensi penguatkuasaan dalam radar kerajaan – PM 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memantau secara dekat agensi penguatkuasaan susulan laporan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa membabitkan agensi berkenaan yang mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, masih ada kebocoran, ketirisan dan amalan lapuk seperti amalan sakau yang merosakkan sendi negara.

“Ini peringatan badan penguatkuasaan bukan sahaja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen (JIM) kita sedang pantau dari dekat.

“Saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecurangan ini kerana majoriti (badan penguatkuasaan) itu memang hasrat untuk buat kebaikan tapi kadang-kadang dihidup dalam budaya begitu rupa, budaya sakau semua jadi dia pun terpaksa kata dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MoF), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota JKDM di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi kekecewaan terhadap JKDM yang terletak di bawah MoF berikutan kegiatan tersebut.

Jelasnya, ketirisan itu sepatutnya boleh digunakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi, membantu rakyat susah, meningkatkan mutu pendidikan dan kemudahan kesihatan selain memberi gaji dan upah lebih tinggi untuk perkhidmatan awam.

Pada masa sama, Anwar memuji Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin yang mengambil tindakan tegas dan berani terhadap anggota JKDM yang terlibat di dalam kes berkenaan.

Tegasnya, beliau tidak mahu kecurangan yang dilakukan segelintir pihak itu mencacatkan imej perkhidmatan awam sedangkan majoriti penjawat awam mempunyai integriti dan kasih kepada negara.

“Ini masalah kita, lantik jawatan ketua pengarah, ketua agensi, gaji tinggi tapi kerja dia nak melindungi segala kebobrokan berlaku, jadi takkan ada perubahan.

“Tukarlah berapa banyak ketua agensi tapi kecurangan terus berlaku kerana tidak ada kekuatan tekad walaupun dah berpuasa berpuluh tahun, tak pernah lulus ujian (Ramadan),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini