comscore
Tumpuan :
Nasional

Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia beroperasi selepas RUU diluluskan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah. FOTO: RTM

KUALA LUMPUR: Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) akan beroperasi sepenuhnya selepas penggubalan Rang Undang-Udang (RUU) Pindaan Akta-Akta Berbangkit diluluskan kelak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pengurusan MCBA ketika ini giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan RUU berkenaan.

Beliau berkata, MCBA ketika ini turut menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi menggubal RUU MCBA dengan kedua-dua RUU berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Jun ini.

“RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit ini membabitkan 31 akta berkaitan.

“Selain itu, penyelarasan dan libat urus bersama agensi sedia ada dan pihak berkepentingan lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di pintu masuk.

“Penyelarasan ini akan merangkumi perancangan operasi secara berfasa, pembangunan prosedur operasi standard bersepadu di lapangan serta mekanisme penyelarasan dasar antara pelbagai kementerian dan jabatan berbeza,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, permohonan perjawatan MCBA sudah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Disember 2023, diikuti Waran Perjawatan MCBA Bil. K3 Tahun 2024 oleh Perbendaharaan berkuat kuasa mulai 5 Januari lalu.

Katanya, MCBA adalah agensi kerajaan yang bertindak sebagai barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan dengan penubuhannya dipersetujui Jemaah Menteri pada 18 Oktober lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini