
MELAKA: Seorang warga emas mengagihkan ratusan wang kertas seringgit kepada orang ramai di sini hari ini.
Wang RM1 itu dibentuk seperti origami sebelum diagihkan kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.
Teoh Hai Siang, 67 mendakwa tindakannya itu sudah menjadi kebiasaan untuk beliau menghargai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang sama-sama meraikan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia setiap tahun.
Katanya, dia membuat sendiri wang berkenaan hasil idea untuk memberi nilai tambah kepada ikatan kemesraan dalam kalangan penduduk di negara ini terutama di Melaka.
“Sejak bulan kemerdekaan sehingga sambutan Hari Malaysia saya biasanya akan memberikan wang RM1 terbabit secara percuma kepada penduduk tidak mengira usia termasuk dibentuk seperti bunga teratai, baju dan hati.
“Kebiasaan mereka agak terkejut selepas diberikan wang terbabit namun selepas dijelaskan tujuan saya mereka gembira,”katanya ketika di temui di bandaraya Melaka.
Beliau berkata,selain wang RM1 dia juga mereka cipta wang RM10, RM20 dan RM50 selain matawang Singapura yang juga diagihkan tanpa mengira siapa.
Katanya, selain menjadikan wang berkanaan sebagai saguhati ia juga membolehkan usaha dan kreativiti terbabit dikongsi bersama dalam masa sama mengembirakan orang ramai.
Dia yang menetap di bandaraya bersejarah berkenaan yakin inisiatifnya boleh menjadi ikutan kepada mereka yang bermurah hati untuk berbuat seperti apa yang dilakukannya.
Hai Siang berkata, dia akan terus mereka cipta wang terbabit dan akan terus dilakukan pada masa hadapan dalam masa sama sanggup menunjuk ajar mereka yang berminat untuk mengetahui cara pembuatannya.