comscore
Tumpuan :
Nasional

Agihan kerusi PN sempena PRN akan dimuktamadkan Selasa ini

Enam negeri dijangka mengadakan PRN pada Jun ini. – Foto hiasan NSTP

KUALA TERENGGANU: Agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) bagi Perikatan Nasional (PN) akan dimuktamadkan pada mesyuarat pusat, Selasa ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan bersama barisan kepimpinan pusat akan diadakan di Kuala Lumpur bagi PRN di enam negeri.

“Insya-Allah, dalam minggu depan kita akan bincang. Perbincangan kerusi dilakukan di peringkat pusat.

“Ada pun di negeri-negeri mereka sebut nak itu nak ini. Itu adalah perkara biasa. Anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam. Mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, PN menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengekalkan pembentukan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mempertahan 22 kerusi PAS dan merampas 10 kerusi UMNO berdasarkan reaksi positif rakyat serta keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Sasaran memang kita masuk pilihan raya kita masuk semua kerusi 32 DUN. Kita ingin mencapai 32 (kerusi menang). Mana ada orang masuk perlawanan nak kalah.

“Reaksi rakyat yang kita dapat dengan cara yang sangat positif dan keputusan PRU yang baru ini. Jadi, kita percaya dengan apa yang berlaku sekarang ini di peringkat pusat. Insya-Allah, ia akan memberi kelebihan kepada kita di negeri Terengganu ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Terengganu akan mengikut Kedah yang memberi bayangan akan membubarkan DUN selepas 18 Jun seperti yang dikatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan dipertimbang.

“Kita akan pertimbangkan apa yang disebut Menteri Besar Kedah,” katanya.

Pada PRU14 yang lalu, PAS memenangi 22 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRU-15 yang lalu, PN Terengganu berjaya menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di negeri itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini