comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong Berangkat Pulang Ke Tanah Air Dari Turkiye

ISTANBUL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas selesai melakukan Lawatan Negara di Turkiye selama lapan hari.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 4 petang (waktu tempatan) disambut Timbalan Menteri Luara Turkiye Sedat Onal dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye Salim Mustafa Kamal.

Turut mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan delegasi Malaysia.

Lawatan Negara Al-Sultan Abdullah bermula Isnin lepas antara lain bertujuan meningkatkan hubungan dua hala yang telah terjalin hampir enam dekad.

Jadual Baginda bermula di Ankara dengan Sambutan Negara di Kompleks Presiden disambut Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang kemudian turut menganugerahkan Al-Sultan Abdullah darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State.
 
Selain itu, Seri Paduka turut berkenan melawat pemain industri pertahanan utama Turkiye, FNSS Defence System A.S dan syarikat aeroangkasa Turkiye, Turkish Aerospace Industry (TAI).

Program Al-Sultan Abdullah di Turkiye diteruskan ke Istanbul dengan beberapa program utama antaranya berkenan menerima penganugerahan ijazah kedoktoran kehormat oleh Universiti Marmara dalam bidang Sains Politik dan Hubungan antarabangsa.

Selain mengadakan lawatan ke tempat bersejarah di sekitar Istanbul Baginda turut bertemu 100 orang rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta delegasi dijadual berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.30 pagi esok.

Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan Lawatan Negara seterusnya ke Singapura bulan depan.- BERNAMA

Loading...
Terkini