comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong berbuka puasa bersama warga UMP

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang di sini, anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Keberangkatan tiba seri paduka disambut barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Lembaga UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 60 pelajar universiti itu.

Sementara itu, UMP menerusi kenyataannya memaklumkan mereka mengagihkan sumbangan berjumlah RM200,000 daripada pelbagai pihak termasuk potongan gaji warga kerja universiti, bagi aktiviti penyediaan iftar Ramadan dan sahur percuma selama sebulan kepada lebih 1,600 pelajar. – BERNAMA

Loading...
Terkini