comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong berkenan adakan Lawatan Negara pertama ke China mulai esok

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk mengadakan Lawatan Negara ke China atas jemputan Presiden republik berkenaan, Xi Jinping, selain bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Lawatan selama empat hari bermula esok sehingga Ahad ini adalah Lawatan Negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke negara Tembok Besar itu sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keberangkatan Sultan Ibrahim akan diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan pegawai kanan dari Istana Negara serta kementerian dan agensi berkaitan.

“Semasa Lawatan Negara ini, Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing diikuti pertemuan bersama Xi Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden tersebut.

“Yang di-Pertuan Agong turut perkenan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Seri Paduka Baginda juga dijadualkan untuk menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia semasa lawatan terbabit.

“Lawatan Negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China yang telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

“Lawatan Negara ini juga memberi peluang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan di antara Malaysia dan China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua negara berdasarkan kepada saling mempercayai dan hormat menghormati,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 billion (AS$98.90 bilion) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.

Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024 yang mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (AS$49.53 bilion) berbanding RM214.87 billion (AS$48.21 billion) pada pertengahan tahun pertama 2023.

Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (AS$717.7 juta).

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan bahawa lawatan Seri Paduka Baginda tersebut merupakan lembaran baharu dalam memperkukuh persahabatan erat antara Malaysia dan China.

Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa hubungan dengan republik berkenaan membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini