comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong berkenan meriahkan Majlis Santapan Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri JPM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memeriahkan Majlis Santapan Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon PUSPANITAPURI di sini.

Ketibaan baginda pada jam 12.50 tengah hari disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Turut hadir, barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan anggota pentadbiran JPM.

Pada majlis sehingga jam 2 petang itu, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri turut meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menikmati hidangan selain beramah mesra dengan lebih 5,000 tetamu yang hadir terdiri daripada seluruh warga jabatan dan agensi di bawah JPM.

Sementara itu, JPM dalam kenyataan memaklumkan, tujuan utama penganjuran majlis tersebut adalah untuk memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta muhibah antara warga jabatan terbabit dan barisan pengurusan pentadbiran.

Terdapat 10 gerai gabungan daripada pelbagai jabatan dan agensi serta 37 menu pelbagai kaum Melayu, India dan Sabah serta Sarawak disediakan.

Antaranya nasi beriani gam, nasi dagang, laksa Johor, kambing golek, pulut kuning, rendang, ketupat palas, mee kolok, laksa Sarawak, kek lapis, putu mayam, mini paratha dan aneka kuih-muih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini