comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong berkenan terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan UIAM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dari Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Konvokesyen Khas Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) di UIAM.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Kepimpinan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anugerah itu disampaikan pada istiadat konvokesyen khas sempena sambutan ulang tahun ke-40 universiti berkenaan oleh Ketua Perlembagaan UIAM Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganugerahan itu adalah sebagai penghargaan kepada Seri Paduka yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2019.

“Kepimpinan baginda terserlah apabila bersama-sama rakyat jelata memimpin negara ketika wabak COVID-19 melanda dunia dan negara.

“Sikap keprihatinan Tuanku membantu rakyat dan memberikan semangat kepada warga barisan hadapan untuk sama-sama bangkit dan melawan COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, UIAM berkata ketokohan serta kepimpinan baginda terserlah apabila kemelut politik yang melanda negara dirungkaikan dengan penuh berhemah dan profesional.

“Sikap kepemimpinan Tuanku juga boleh dilihat daripada pelbagai aspek dan bidang di dalam dan luar negara,” katanya.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada UIAM serta berbesar hati dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah kepimpinan itu dan bertitah bahawa ia bukan sahaja pencapaian baginda tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Beta telah menimba banyak pengalaman dalam perihal kepimpinan dan memahami kepentingannya secara langsung ketika melaksanakan tugas beta terutama sejak lima tahun lepas.

“Kepimpinan adalah sebahagian daripada tanggungjawab beta dan kesemua tanggungjawab ini dipikul bukan untuk ganjaran atau pengiktirafan peribadi.

“Justeru, penganugerahan ijazah kehormat doktor falsafah ini kepada beta benar-benar tidak ternilai dan saya amat berbesar hati,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah beberapa tahun kebelakangan ini sejak menaiki takhta, baginda mula menyedari kepentingan peranan yang dimainkan oleh kepimpinan dalam usaha menyatu padu dan memacu Malaysia ke hadapan selain merebut peluang serta memupuk kemakmuran sebagai sebuah negara.

Baginda juga bertitah adalah penting untuk semua pihak sentiasa mengingati bahawa kepimpinan dikaitkan secara intrinsik dengan rakyat.

“Tanpa rakyat, tiada kepimpinan. Bak kata pepatah Melayu ‘tiada rakyat, tiada pemimpin’. Sebagai Yang di-Pertuan Agong, beta sanggup mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada ‘rakyat’ dan mempromosi kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan beta.

“Beta sentiasa prihatin dengan perjuangan serta kesusahan mereka, dan saya menjiwai nasib mereka sambil menggalakkan aspirasi mereka untuk berjaya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah seorang pemimpin harus sentiasa mengutamakan keperluan rakyat melebih diri sendiri dan memimpin melalui teladan selain berusaha memberikan impak positif terhadap kehidupan orang lain.

“Prinsip ini telah membimbing beta sepanjang tempoh beta menjadi Yang di-Pertuan Agong di negara kita yang tercinta,” titah baginda.

Turut hadir Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman. – BERNAMA

Loading...
Terkini