comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong boleh isytihar darurat – Razaleigh

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa muktamad membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk dalam masa terdekat jika semua parti gagal mencapai kata sepakat.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata baginda boleh mengisytiharkan darurat jika kesemua ketua gabungan parti yang meraih kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) gagal mencari kata sepakat membentuk kerajaan

“Sekiranya tiada gabungan parti mendapat majoriti 112 kerusi, maka kuasa itu kembali kepada Yang di-Pertuan Agong, hanya baginda yang boleh menentukan caranya.

“Kalau semua parti tidak dapat menghasilkan satu formula untuk bekerjasama, mungkin Yang di-Pertuan Agong akan memerintah secara darurat.

“Ini menerusi kuasa yang ada pada baginda mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan sehingga keadaan boleh menubuhkan kerajaan. Ini adalah pendapat saya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU-15 ini, berkata tempoh darurat itu jika diisytiharkan kelak, bergantung kepada keupayaan semua parti mendapat kesepakatan membentuk kerajaan.

“Berapa lama tempoh, itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya Baginda rasa perlu pegang setahun, dua tahun, tiga tahun sehingga pihak politik boleh berdamai sesama mereka, bersetuju berpakat.

‘Jika tidak, perkara akan jadi seperti ini semula (kerajaan tergantung) atau mungkin lebih teruk lagi daripada ini saya fikir,” katanya.

Loading...
Terkini