comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong Diberi Sambutan Negara Sempena Lawatan Ke Turkiye

ANKARA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan berangkat ke Kompleks Presiden di sini hari ini, diberi Sambutan Negara sempena lawatan baginda ke Turkiye.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 5.30 petang (waktu tempatan) disambut oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Baginda menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden diiringi lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ dan lagu kebangsaan Turkiye ‘Istiklal Marsi’ serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Al-Sultan Abdullah, yang diiringi Erdogan, kemudian berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan serta diperkenal kepada barisan Kabinet pemerintah Turkiye.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pegawai Pengiring Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Protokol Kementerian Luar Aini Mohd Atan dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini dalam rangka Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula semalam.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Istana Presiden.

Pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Presiden Turkiye itu adalah yang pertama selepas baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Seri Paduka sebelum ini berkenan menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Turkiye ketika menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan pada Mei lepas.

Dalam perbualan telefon itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Masjid Besar Hagia Sophia.- BERNAMA

Loading...
Terkini