comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri Berkenan Adakan Lawatan Khas Ke UK

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom bermula 17 hingga 27 September ini.

Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengadakan lawatan ke Battersea Power Station, sebuah projek ikonik Malaysia di London, usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan untuk melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 September bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia di United Kingdom yang terdiri dari golongan usahawan, ahli akademik, pelajar serta ketua komuniti.

“Pada 25 September 2021, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), sebuah syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan salah sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia.

“Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima kunjungan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan United Kingdom.

“Pada keseluruhannya, Lawatan Khas ini melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan United Kingdom dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Selain itu, lawatan ini turut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia serta prestasi pelaburan dan kepentingan Negara di United Kingdom agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutamanya semasa pandemik yang mencabar ini”.

Loading...
Terkini