comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri ucap tahniah buat skuad hoki negara

PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan hoki kebangsaan atas kejayaan mereka melakar sejarah menjulang buat kali pertama Piala Sultan Azlan Shah 2022 semalam (10 Nov).

Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Speedy Tigers itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan kesyukuran dan rasa sukacita atas kejayaan pasukan itu yang sekaligus menamatkan penantian 39 tahun Malaysia sebagai tuan rumah untuk muncul juara kejohanan.

”Seri Paduka Baginda berdua berbangga dengan semangat kerja berpasukan dan semangat perjuangan tinggi, beraksi sepenuh jiwa yang telah dipamerkan oleh Pasukan Hoki Kebangsaan di perlawanan akhir edisi ke-29 kejohanan berprestij tersebut, menumbangkan juara bertahan Korea Selatan.

”Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada barisan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Subahan Kamal ”

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi tahniah kepada Pasukan Hoki Kebangsaan yang dikendalikan Pengurus Datuk Mirnawan Nawawi dan Ketua Jurulatih A. Arulselvaraj serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan itu.

Seri Paduka Baginda berharap agar kejayaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada Pasukan Hoki Kebangsaan untuk berlatih dan bekerja lebih keras dalam persediaan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Konfederasi Hoki Antarabangsa tahun depan.

”Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir memberi sokongan padu kepada Pasukan Hoki Kebangsaan di perlawanan akhir kejohanan semalam yang berakhir dengan kemenangan bermakna dan lakaran sejarah buat negara”.

Semalam, skuad hoki kebangsaan melakar sejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama apabila menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini