comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat mengarak panji-panji 

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/ Facebook

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter EC725A, Agusta 109 dan Fennec milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 TUDM.

Kesemua pesawat berkenaan membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/ Facebook

Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan terdiri daripada 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Perbarisan yang berlangsung hampir sejam itu yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/ Facebook

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Istiadat diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Sultan Ibrahim sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.25 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini