comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Raja Permaisuri hadiri pertabalan Raja Charles III

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Raja Charles lll di Westminster Abbey hari ini. – FOTO: Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mencemar duli menghadiri Istiadat Pertabalan Diraja United Kingdom (UK).

Seri Paduka berdua adalah raja pertama Malaysia yang menghadiri istiadat itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ia hari yang sangat istimewa dan peristiwa bersejarah untuk baginda.

“Beta adalah raja pertama Malaysia yang menghadiri acara penobatan. Sebelum ini, tidak ada raja Malaysia yang menghadiri istiadat pertabalan sejak 70 tahun yang lalu.

“Hanya ada empat sultan (pernah menghadirinya) sebelum kemerdekaan. Oleh itu, hari ini dan esok akan menjadi hari yang istimewa. Beta rasa amat terhormat dan semangat menantikannya,” titah baginda dalam laporan Buletin 1.30 di TV3, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keterujaannya untuk menghadiri istiadat pertabalan Raja Charles III, yang berlangsung di Wesminster Abbey, London.

“Ini adalah saat yang membanggakan bagi beta kerana telah mengenalinya sejak masa mudanya pada tahun 70-an.

“Melihatnya diangkat menjadi raja adalah satu penghormatan bagi beta. Beta yakin baginda akan menjadi seorang raja yang baik,” titah baginda.

FOTO: Istana Negara

Baginda dan Raja Charles III menjalin persahabatan sejak lebih empat dekad lalu, bermula dengan sukan polo di London dan dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah, memakai pakaian istiadat No 1 tentera, manakala Tunku Azizah mengenakan persalinan baju kurung moden berwarna kuning direka khas oleh baginda sendiri untuk istiadat pertabalan baginda berdua pada 2019.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah adalah Ketua Negara Malaysia yang pertama berangkat menghadiri ke Istiadat Pertabalan Raja UK.

Untuk rekod, kali terakhir istiadat sama dijalankan pada 70 tahun lalu ketika Ratu Elizabeth II dinobatkan sebagai ketua negara UK pada tanggal 2 Jun 1953.

Ketika itu Tanah Melayu masih belum merdeka dan institusi Yang di-Pertuan Agong belum wujud.

Menurut catatan sejarah, empat sultan berangkat mewakili Tanah Melayu ke pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 iaitu Sultan Kelantan, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Sultan Perak.

Upacara gemilang penuh istiadat tradisi diraja UK hari ini, itu turut menyaksikan pertabalan Permaisuri Camilla, bermula pada jam 11 pagi waktu UK (6 petang waktu Malaysia), yang diikuti oleh rakyat England serta masyarakat antarabangsa menerusi siaran televisyen secara langsung dan media sosial.

Malaysia turut menyertai perarakan pertabalan besar-besaran, hari ini, yang menyaksikan pembabitan kira-kira 6,000 anggota tentera UK, termasuk 400 anggota tentera dari 38 negara Komanwel.

Sejumlah 12 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, bangga diberi penghormatan menyertai perbarisan dan perarakan diraja, dengan mempamerkan keterampilan dan mutu kawad terbaik.

Loading...
Terkini