comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Raja Permaisuri rai bekas pasukan badminton Piala Thomas 1967

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan petang bersama ahli pasukan badminton Piala Thomas 1967 Malaysia di Istana Negara hari ini.

Istana Negara, menerusi perkongsian di Facebook, memaklumkan selain meraikan pasukan legenda sukan badminton itu Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan besar mereka kepada negara.

Ahli pasukan yang hadir ialah Datuk Yew Cheng Hoe, Datuk Billy Ng Seow Meng, Datuk Tan Yee Khan, Datuk Teh Kew San dan Tan Aik Huang.

Turut hadir dua bekas pemain Piala Uber negara era 50-an dan 70-an Jean Moey dan Sylvia Ng serta pemain Piala Thomas 1976 negara Datuk James Selvaraj Joseph.

Majlis santapan petang itu turut dihadiri bekas wartawan sukan tempatan seperti Datuk Fauzi Omar, Datuk Yong Soo Heong, Datuk George Das, Datuk Lazarus Rokk dan Datuk Johnson Fernandez.

Kejohanan Piala Thomas 1967 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia menyaksikan Malaysia menjadi juara buat kali keempat selepas menumpaskan tuan rumah 6-3 pada perlawanan akhir.– BERNAMA

Loading...
Terkini