KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto, yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan hari ini.
Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas yang turut memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Prabowo berjabat tangan, yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia, di majlis yang turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari lalu dengan memperoleh 59 peratus undi.
Beliau bersama Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.
Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.
Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.- BERNAMA