comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong santuni 50 asnaf di Langkawi

Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) diiringi Abdul Gafar (kanan sekali) menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah, Langkawi. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada 50 asnaf di pekarangan Masjid Al-Hana Kuah, di sini hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri kenderaan diiringi anakanda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tiba di pekarangan masjid pada jam 1.20 tengah hari.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan anakandanya disambut Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Muttalib; Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Lokman Ishak dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Seterusnya, Baginda berdua menunaikan solat Jumaat bersama 1,500 jemaah dan mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Memakmurkan Bumi Allah’ disampaikan Timbalan Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Muhammad Fauwaz Syeikh Abdullah.

Solat Jumaat diimamkan Pemangku Imam Masjid Al-Hana Kuah, Mohd Dzaher Saad.

Al-Sultan Abdullah kemudian meluangkan masa hampir 30 minit menyantuni penerima sumbangan yang terdiri daripada 50 asnaf terpilih, manakala Tengku Hassanal menyantuni jemaah kanak-kanak.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di pulau ini dalam lawatan istirahat selama lima hari hingga Selasa ini, pada jam 11.15 pagi tadi.

Penerima sumbangan, Budin Mohd Saad, 61, menjunjung kasih atas kurniaan itu dan berkata, sumbangan itu sangat besar nilai buat dirinya yang menghidap penyakit kencing manis.

Beliau berkata, sumbangan itu untuk kegunaan harian keluarga, memandangkan isterinya tidak bekerja selain menyediakan keperluan seorang anak yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

Habsah Mehat, 56, berkata dia teruja apabila dipilih menerima sumbangan disampaikan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah.

“Ini kali pertama makcik jumpa baginda, terasa sangat teruja apabila menerima sumbangan daripada Seri Paduka.

“Makcik ini orang susah, apabila dapat sumbangan begini makcik bersyukur kerana sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban ditanggung,” katanya.

Loading...
Terkini